Filem Anwar: The Untold Story gegar pawagam mulai hari ini

Filem Anwar: The Untold Story yang memaparkan liku perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Naskhah arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu dibintangi Farid Kamil yang menggalas watak Anwar manakala aktres terkenal Indonesia Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Antara pelakon lain yang turut membintangi filem yang diusahakan pembikinannya sejak 2011 dengan menelan belanja sebanyak RM10 juta ini ialah Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Berlatarkan tempoh antara 1993 hingga 1998, filem berkenaan menceritakan perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam perjuangannya menentang amalan rasuah yang mencetuskan tempoh kebangkitan politik yang dikenali sebagai gerakan reformasi.

Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif berkata filem berkenaan mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar melawan rasuah yang turut dibantu dengan kesetiaan sang isteri.

“Filem ini memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai daripada ‘cukong-cukong’ (pemilik perusahaan) besar.

“Juga bagaimana dia (Anwar) enggan menggunakan wang rakyat untuk ‘bailout’ (pakej penyelamatan) syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit,” katanya pada hantaran di Facebook miliknya.

Menurutnya, Anwar telah difitnah dengan sebuah konspirasi besar, dipecat, dipukul dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari.

Tambahnya, ia mengisahkan daripada seorang Menteri Kewangan terbaik yang berjaya membebaskan Malaysia daripada dibelenggu hutang yang akhirnya merengkok di penjara.

Karya biopik ini dijadual ditayang serentak mulai hari ini dengan orang ramai boleh memenuhi pawagam berdekatan untuk menonton filem terbitan Yusrych Global manakala DMY Creation selaku pengedar rasmi.

Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto menerusi lagu “Menjaga Cintamu” yang merupakan lagu Official Sound Track (OST) bagi filem “Anwar: The Untold Story”.

BACA JUGA: Filem kisah Anwar buka akal fikir anak muda