Gelombang anak muda Kelantan memihak kepada PH-BN

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan diyakini mampu memberi tentangan hebat terhadap Pas yang sebelum ini dianggap kebal kerana menguasai negeri itu lebih tiga dekad.

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan hangat rakyat Kelantan terutama anak muda ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani pada 12 Mei lalu.

MUHAMMAD HUSSAIN

Menurutnya, kesedaran anak muda yang dimomokkan dengan hal-hal melibatkan bangsa dan agama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 terbukti tidak berlaku selepas PH-BN memerintah mendorong mereka nekad menukar pemimpin negeri.

“Indikator jumlah kehadiran ini jelas sekali membawa mesej yang jelas dari rakyat Kelantan bahawa mereka amat dambakan perubahan dan ingin sekali mendengar dari dekat mesej yang disampaikan oleh PM.

“Untuk PRN kali ini, saya optimis PH-BN akan memberikan tentangan yang semaksimun mungkin bagi memastikan Kelantan akan bertukar tangan kepada PH-BN.

“Kerjasama yang termeterai antara PH-BN diyakini mampu menyelesaikan permasalahan rakyat dengan lebih cepat melalui perancangan yang mampan. Apa pun, kerjasama ini perlu dipertingkatkan agar dapat dicapai matlamat yang satu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily semalam.

Muhammad berkata, kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Pusat akan lebih memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang menderita dengan air yang kotor di kebanyakan kawasan di Kelantan.

Dalam hal ini, katanya PH-BN berpeluang membuat kejutan apabila gelombang anak muda pada PRN dijangka memihak kepada gabungan parti Kerajaan Perpaduan itu, berbeza dengan keadaan semasa kempen PRU-15 pada November tahun lalu.

“Justeru itu, saya penuh yakin PRN pada kali ini dengan izin Allah, mereka akan menyokong PH-BN seterusnya dapat mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.

“Kami PH-BN akan terus melipat gandakan usaha dan memastikan strategi yang digunakan pada kali ini membuahkan hasil yang baik,” katanya.

Baca juga: PH Negeri Sembilan bermesyuarat minggu depan bincang PRN

Â