Kalimah Allah: Terserah kepada kerajaan untuk menanganinya

Polis DiRaja Malaysia akan menyerahkan kepada kerajaan persekutuan untuk menangani isu berkaitan kalimah “Allah”, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Kita serahkan pada pihak kerajaan untuk menguruskan perkara ini kerana saya percaya akan ada satu taklimat kepada Majlis Raja-raja Melayu mengenai perkara ini,” kata Acryl kepada pemberita.

Dia berkata demikian ketika ditanya pandangan PDRM berhubung perkara berkenaan memandangkan terdapat percanggahan tafsiran mengenai kesan keputusan Putrajaya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021, yang membenarkan istilah “Allah” dalam konteks bukan Islam.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, seorang Kristian Melanau dari Sarawak, yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan perkataan “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.

Kerajaan pada mulanya merayu terhadap keputusan itu tetapi memberi notis pada 18 April tahun ini bahawa ia tidak akan meneruskan rayuan itu.

BACA JUGA: Dasar penguatkuasaan kalimah Allah diperkukuh – Kabinet