‘Kami bangga dengan gelaran walaun’

Walaupun panggilan walaun dilihat tidak disenangi rata-rata penyokong Pas, lain pula pendirian seorang selebriti agama yang berterus-terang bangga dengan gelaran bernada sindiran itu.

Juara Pencetus Ummah musim ketiga tahun 2015, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali umum sebagai PU Syed berpendapat gelaran tersebut bukanlah bersifat keji.

Malah, Ketua Penerangan Ulamak Pas Kawasan Tambun berkenaan juga mengalu-alukan supaya panggilan itu kerap disebut.

“Walaun bukanlah satu gelaran yang hina, kami bangga dengan gelaran walaun yang memberi maksud kesetiaan.

“Jadi, sebutlah banyak-banyak lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Syed Bakri, 41, sebelum ini dikenali sebagai penceramah yang secara terbuka menegur sejumlah pelakon antaranya Janna Nick, Fasha Sandha dan Nabila Huda.

Berhubung panggilan ‘walaun’ yang diambil daripada perkataan ‘walak’, Abu Mishkat pernah menegaskan bahawa walak ialah kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kerana iman dan akidah.

Bekas pegawai khas kepada mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa itu berkata, tiada walak selain hanya kepada Allah, Rasul dan Islam.

“Walak kepada orang Islam atau parti Islam? Tiada dan tak harus,” jelasnya.

Menurutnya, kewajipan walak kepada sesama orang beriman seperti terkandung dalam ayat al-Quran ditujukan kepada orang beriman secara keseluruhan bukan individu Islam dari negara, bangsa atau kelompok tertentu.

“Orang Islam atau Muslim kelompok tertentu juga tidak sama dengan orang beriman yang disebutkan dalam al-Quran,” ujarnya.

Hal ini memandangkan, jelasnya, orang Islam dan parti Islam tidak bersifat maksum lantaran ditadbir oleh orang Islam kelompok tertentu.

“Jika orang Islam itu jahat atau menipu, parti Islam pun boleh menjadi parti jahat dan penipu.

“Kalau orang Islam dalam parti itu ambil rasuah, jadilah parti Islam itu parti rasuah. Sama sahaja dengan parti lain yang tiada nama Islam.

“Jika orang Islam itu jahat atau menipu, parti Islam pun boleh menjadi parti jahat dan penipu.

“Kalau orang Islam dalam parti itu ambil rasuah, jadilah parti Islam itu parti rasuah. Sama sahaja dengan parti lain yang tiada nama Islam.

“Bila kita memberi walak kepada mana-mana orang Islam atau parti Islam tertentu, kita akan sampai di satu tempat yang kita tersadung dan tertonggeng kelapa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Sehubungan itu, Abu Mishkat menasihatkan orang ramai supaya tidak usah walak kepada orang Islam atau parti Islam tertentu demi mengelak. Susah kita dibuatnya nanti.