Kerusi MB Selangor: Amirudin serah kepada keputusan parti

Datuk Seri Amirudin Shari secara peribadi berharap dapat dikekalkan menerajui kerajaan negeri untuk sepenggal lagi.

Bagaimanapun, beliau akan mematuhi sebarang keputusan parti bagi menentukan kedudukannya.

Beliau berkata, sebagai ahli parti, beliau akan berpegang kepada strategi yang dirancang PH untuk Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana ia adalah untuk kepentingan semua.

“Kalau ditanya secara peribadi, tetapi selaku ahli parti kita kena patuh dengan beberapa strategi, perancangan yang bukan keputusan saya sendiri.

“Kalau orang tanya pendirian saya, saya lebih suka untuk kekal. Tetapi sudah pasti parti, pimpinan perlu buat keputusan dan boleh melakukan perbincangan baik demi kebaikan semua,” katanya lapor Malaysiakini.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata demikian ketika ditanya jika dirinya akan kekal sebagai ‘poster boy’ atau wajah PH untuk Selangor pada PRN.

“‘Poster boy’ ditentukan oleh parti. Tetapi bukan masalah ‘poster boy’, saya rasa di Selangor, kita nak lengkapkan kesemuanya iaitu polisi, dasar kejayaan dan saya percaya ‘poster boy’ bukan segala-galanya.

“Yang penting apakah kita berjaya ‘deliver’ (menyampaikan) dan mampu laksanakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Pada masa sama, Amirudin turut ditanya jika beliau bersedia untuk berdepan dengan Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekiranya bekas Menteri Besar itu mahu mencabarnya semula.

Pengerusi PH Selangor itu berkata, beliau tidak tahu sama ada Azmin bercadang berbuat demikian atau tidak, tetapi bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Terpulang kepada apa sahaja strategi yang dia mahu gunakan tetapi apa pun, kita perlu bersedia untuk sebarang situasi dan cabaran,” katanya.

Terdahulu laporan menyebut Amirudin akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada minggu ketiga atau keempat bulan depan bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Amirudin berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

BACA JUGA: Selangor bela guru sekolah agama, sedia perjawatan lebih baik – MB