Orang Melayu nilai pencapaian PH mentadbir Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa terdapat gelombang orang Melayu menyokong mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti hanya sebagai kenyataan politik.

Sebaliknya beliau berkata orang Melayu di negeri ini membuat penilaian terhadap pencapaian pembangunan, kemajuan dan kesungguhan kerajaan negeri mentadbir sepanjang lima tahun lalu.

“Mereka melihat dan menilai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri dan Pusat.

“Masyarakat di Negeri Sembilan khususnya masyarakat Melayu dapat menilai sendiri pembangunan, kemajuan dan kesungguhan kita dalam mentadbir negeri,” katanya seperti dilapor laman berita Negeri Kita.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri lain juga bakal terlibat dalam PRN ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Rembau, Tampin, Jempol, Jelebu dan Kuala Pilih manakala tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA: PH Negeri Sembilan bermesyuarat minggu depan bincang PRN