Pemuda Pas Kelantan sedih, terguris hati Khairulaming beli tiket Coldplay

Sedih dan terguris hati. Itu perasaan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed apabila mengetahui Khairulaming berjaya membeli tiket Coldplay.

Kamal menegaskan pempengaruh berkenaan tidak harus mempromosikan konsert daripada artis yang lantang mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) tersebut mempersoal sama ada Khairulaming sanggup menjadi penyumbang gejala LGBT dalam kalangan anak muda biarpun secara tidak langsung.

“Alang kepalang kesedihan, terguris hati saya apabila membaca posting Twitter saudara yang bersungguh menempah tiket.

“Pastinya siapa saya untuk menghalang keinginan orang lain tetapi suka saya menitipkan pesan lantaran saudara adalah saudara seagama saya.

“Saya mahu mengajak saudara untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang akan dibawa bersama dalam konsert Coldplay nanti.

“Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kepada anak-anak muda?” soal Kamal menerusi kenyataan berbentuk surat itu.

Terdahulu, Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memberitahu kejayaannya membeli empat tiket Coldplay pada tengah hari kelmarin selepas sejak pagi cuba mendapatkannya.

“Pukul 12 tengah hari dapat empat tiket standing walaupun que dalam toilet dari pagi dapat jugak beli,” ciap usahawan Sambal Nyet Berapi itu di Twitter. 

Lanjut menasihatkan lulusan kejuruteraan mekanikal dari universiti di Amerika Syarikat (AS) itu, Kamal berkata, dia percaya Khairulaming telah matang dalam membuat pertimbangan.

“Apa lagi ingin saya katakan, saudara tidak sepatutnya terlibat dalam kempen secara tidak langsung begitu kerana saudara adalah ikutan ramai anak muda,” tegasnya.

Sehubungan itu, Kamal berharap pencipta kandungan makanan yang sama dengannya lahir di Kelantan itu membetulkan kesilapan yang dilakukan.

“Saya doakan saudara akan lebih berjaya dengan apa yang telah saudara usahakan dan terpaling saya doa adalah agar saudara membetulkan khilaf yang kesan akibatnya tidak terjangkau akal terhadap anak muda negara,” tambahnya lagi.