PH Negeri Sembilan bermesyuarat minggu depan bincang PRN

Satu mesyuarat melibatkan komponen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan diadakan pada minggu hadapan, kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata mesyuarat yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar itu akan membincangkan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan anggota gabungan itu.

“Ia bagi membincangkan beberapa perkara yang berbangkit,” katanya ringkas ketika dihubungi Harapan Daily.

Untuk rekod, ‘Negeri Penuh Beradat’ itu mempunyai 36 kerusi DUN dengan 20 kerusi kini dikuasai PH dan baki 16 kerusi dimiliki BN.

Semalam, Pengerusi PH negeri Datuk Seri Aminuddin Harun memberi bayangan DUN akan dibubarkan pada hujung Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Beliau yang juga ADUN Sikamat memaklumkan bahawa keputusan pembubaran di negeri yang terlibat akan berlangsung pada bulan yang sama namun berlainan tarikh dan hari.

Sebelum ini enam Menteri Besar dan Ketua Menteri sepakat untuk membubarkan DUN pada Jun bagi membolehkan PRN serentak diadakan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai PH selain Kelantan, Kedah dan Terengganu di bawah PN.

BACA JUGA: Negeri Sembilan bubar DUN akhir Jun