Selangor tambah RM50 juta lancar kerja turapan jalan

Kerja penurapan jalan secara besar-besaran dibuat di seluruh negeri Selangor mulai bulan ini bagi memastikan keselesaan orang ramai, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Ir Izham Hashim berkata projek melibatkan kos RM50 juta itu dijayakan bagi meningkatkan kemudahan orang ramai yang dibuat secara menyeluruh di Selangor.

Menurutnya, peruntukan tersebut adalah sebagai tambahan kepada dana RM500 juta pada setiap tahun bagi menguruskan semua jalan negeri.

“Ada lebih 20,000 jalan raya untuk diurus dan agak sukar kerana banyak kenderaan dengan penggunaan jalan begitu kerap, ditambah tanah lembut mengakibatkan jalan mudah rosak.

“Tahun ini kita tambah RM50 juta untuk turap jalan yang agak ketinggalan dan tidak terurus,” lapor Selangorkini.

Pada Januari lalu, Ir Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah mengumumkan projek penurapan itu melibatkan semua laluan selain turut meminta kerajaan pusat supaya memantau jalan persekutuan yang perlu melalui proses sama.

Beliau sudah menyampaikan perkara itu kepada menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya jalan persekutuan di Selangor termasuk lebuh raya dalam keadaan baik.

Terdahulu, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya di negeri berkenaan menerusi Bajet 2023.

Ia termasuk kerja penurapan mega melibatkan jalan-jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Untuk rekod, sebanyak 46,851 jalan negeri yang rosak membabitkan semua daerah di Selangor telah dibaiki sejak 2021 hingga 31 Mac 2023.