Stesen minyak tanpa subsidi diperluas ke Kelantan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berada di peringkat akhir untuk mewujudkan stesen minyak tanpa subsidi di beberapa negeri lain selepas melaksanakannya di Perlis sebagai perintis.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif di bawah Program Ekonomi Sempadan dapat menjimatkan peruntukan subsidi minyak kerajaan selain meningkatkan hasil kepada negara melalui cukai jualan ke atas kenderaan asing.

“Projek itu kini dilaksanakan di Perlis iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian. KPDN kini dalam peringkat akhir melaksanakan stesen minyak tanpa subsidi di negeri lain khususnya di Kelantan yang kemudiannya diikuti oleh Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL).

Ahmad Zahid berkata laporan awal pembekalan petrol RON95 dan diesel tanpa subsidi yang dilaksanakan di Padang Besar dan Wang Kelian mendapati jualan produk petroleum bersubsidi turun 13.2 peratus dan 15.7 peratus bagi RON95 untuk dua bulan pertama.

“Jumlah penjimatan subsidi kerajaan adalah kira-kira RM5 juta. Dua stesen minyak tidak bersubsidi di Perlis mencatatkan peningkatan sebanyak 14.75 peratus dalam jualan diesel tanpa subsidi dan 43.27 peratus bagi RON95 tanpa subsidi,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Ops Tiris sejak 1 Mac hingga 15 Mei lalu, Ahmad Zahid berkata sebanyak 6,095 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara melibatkan rampasan 2,262,434 liter diesel bernilai RM4,933,692 dan penahanan 124 warga tempatan dan 39 warga asing.

Mengenai bekalan telur, beliau berkata sebanyak 28.10 juta biji telur ayam telah diagihkan kepada 369 cawangan pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) setakat 8 Mei lalu.

Dalam memastikan bekalan makanan mencukupi terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi, Ahmad Zahid berkata kajian khas profil penduduk telah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) di empat daerah pentadbiran terpilih.

Daerah itu ialah Bagan Datuk, Perak; Port Dickson, Negeri Sembilan; Petaling, Selangor dan Samarahan, Sarawak, tambahnya.

Beliau berkata berdasarkan kajian itu, DOSM mencadangkan sekurang-kurangnya satu kawasan pasar tani bagi kawasan berpenduduk antara 3,001 dan 5,000 orang, manakala bagi populasi 100,001 ke atas, minimum 10 pasar tani dicadangkan.

“Secara keseluruhannya, cadangan itu adalah untuk menambah 3,791 pasar tani di semenanjung, 64 pasar tani untuk Sabah dan 24 pasar tani untuk Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Program Jualan Khas Ramadan Madani yang dijalankan di 268 lokasi sejak 17 Mac hingga 14 April lalu melibatkan penyertaan 13,555 usahawan dan menjana jualan RM20.14 juta.

Bagi program Jualan Istimewa Syawal Madani yang dijalankan pada 15 hingga 21 April lalu di 113 lokasi seluruh negara, mencatatkan nilai jualan RM14.13 juta melibatkan penyertaan 5,562 usahawan.

Mengenai Program Jualan Agro Madani, beliau berkata, ia menjana jualan RM9.35 juta dengan jumlah penjimatan yang dinikmati pengguna berjumlah RM1.0 juta.

BACA JUGA: Perluas stesen minyak tidak bersubsidi di kawasan sempadan, elak ketirisan – TPM