Sukan SEA: Cukuplah Pas tunggang agama, tidak perlu sukan jadi mangsa
Pas dinasihatkan untuk tidak mempolitikkan pencapaian atlet Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023 ekoran kegagalan kem negara mencapai sasaran 40 pingat emas seperti yang ditetapkan.
Exco Sukan dan Kesihatan Pemuda AMANAH Nasional, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin berkata walaupun edisi ini mencatat prestasi terburuk, agak janggal apabila Pas mendesak Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang tidak sampai enam bulan berada di kementerian untuk bertanggungjawab dan memohon maaf.
Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas yang meminta Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli memohon maaf secara terbuka kepada semua peminat sukan tanah air berikutan prestasi terburuk dipamerkan kontijen Malaysia.
Dalam temasya dwitahun itu, kontijen negara menduduki tempat ketujuh dengan hanya 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.
“Ia terlihat amat janggal kerana kesemua atlet yang bertanding biasanya lakukan persediaan sekurang kurangnya dua hingga tiga tahun sebelum temasya berlangsung di mana segala persiapan program dan polisi-polisi dibuat oleh pentadbiran sebelumnya.
“Apa yang jelas, KP Pas sebenarnya ketandusan isu dengan seboleh-boleh menjadikan prestasi kontinjen Kebangsaan pada Sukan SEA 2023 sebagai modal politik murahan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.
Begitupun kata Nashrudin, beliau setuju dengan cadangan supaya kementerian melakukan bedah siasat terhadap prestasi atlet kebangsaan yang saban tahun merudum.
Namun katanya Pas perlu berhenti menunggang agama dan menjadikan sukan sebagai mangsa tunggangan.
“Usah risau, hala tuju sukan prestasi tinggi negara adalah keutamaan dan dalam perhatian YB Hannah dan YB Adam.
“Tidak kira fahaman politik, agama atau bangsa, sama-sama doakan Harimau kita bangkit dan mengaum kembali,” katanya.
BACA JUGA: Razman ‘disekolahkan’ selepas persoal Hannah, Adam prestasi Sukan SEA
Â