Ulama Pas anggap tanggung dosa pilih kerajaan benarkan operasi syarikat judi
Menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, pemimpin Pas nampaknya sudah mula berkempen termasuk mengaitkan dengan operasi syarikat perjudian.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani menasihatkan umat Islam di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tentang mengundi itu ada dosa dan pahala.
Menurutnya, kuasa undi penduduk di ketiga-tiga negeri terbabit boleh mendapat ganjaran pahala selama lima tahun akan datang.
“Sebaliknya jika kalian memilih memberi keuntungan kepada syarikat judi ini dengan memilih kerajaan yang memberi kebenaran kepada syarikat judi ini, kalian akan menanggung dosa selama mana adanya operasi syarikat ini,” tegasnya.
Dia berkata demikian mengulas jangkaan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) kelmarin berkenaan kemerosotan pulangan jangka panjang Sports Toto Bhd jika berlaku pertukaran kerajaan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam PRN tidak lama lagi.
Bekas calon DUN Kota Anggerik pada Pilihan Raya Umum 2018 itu dalam masa sama mengucapkan tahniah dan menyeru agar kerajaan negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan yang dikepalai Pas dikekalkan.
Menerusi hantaran di Facebook, Dusuki menganggap tiga negeri itu di bawah pemimpin yang “penuh integriti, soleh dan beriman dengan hari akhirat”.
Justeru, penceramah yang terkenal dengan kisah kematian dan seksaan kubur itu menyeru supaya pengundi bertindak mengubah kepimpinan kerajaan di tiga negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) dengan pemimpin yang beriman kepada hari akhirat, soleh dan penuh integriti.
Â