Ceroboh tanah rizab Sungai Klang, 11 individu dituduh di mahkamah hari ini

Seramai 11 individu yang ditahan untuk siasatan kes pencerobohan tanah rizab Sungai Klang akan dituduh di Mahkamah Shah Alam hari ini, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam.

Beliau berkata kertas siasatan melibatkan suspek lapan warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga India dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya. Seorang daripada mereka juga akan dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa selain dua akan dituduh di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” kata Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim lapor Sinar Harian.

Beliau berkata kesemua tangkapan akan dituduh di Mahkamah Majistret 1, 2, 3 dan 6 Shah Alam hari ini.

Mohd Iqbal menjelaskan siasatan mendapati pencerobohan Tanah Rizab Sungai Klang mula berlaku sejak September 2022.

Katanya antara aktiviti haram yang dikesan ialah pembuangan dan penambakan sampah serta sisa pepejal, pengorekan pasir sungai dan tanah.

Ekoran itu, polis bertindak menahan 11 lelaki terbabit di lokasi terbabit di Seksyen 36, Shah Alam pada 9 Mei lalu.

“Serbuan telah merampas empat buah lori roro serta trak pikap,” katanya.