Empangan penuh 100 peratus, mampu bertahan empat bulan tanpa hujan

Hampir keseluruhan takungan empangan di Selangor berada pada kapasiti penuh 100 peratus sehingga 17 Mei lalu, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar berkata tujuh empangan di negeri ini dijangka mampu menampung pembekalan air mentah bagi tujuan bekalan air di muka sauk sekurang-kurangnya bagi tempoh empat bulan tanpa hujan.

“LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) juga sentiasa bersiap sedia mengaktifkan bekalan sumber air lain seperti kolam-kolam alternatif untuk menampung keperluan air pada musim kemarau dengan mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air empangan.

“Sebanyak 98 buah kolam sumber air alternatif telah dikenal pasti serta jumlah simpanan sumber air dari kolam alternatif kini sebanyak 34 juta meter padu,” katanya dalam infografik yang dikongsi malam semalam.

Beliau berkongsi keputusan Mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 17 Mei lalu.

BACA JUGA: Air Selangor sedia RM35 bilion, ganti paip usang dan tingkat bekalan air bersih