Festival Turath Islami: Jadikan Selangor Serambi Keilmuan Islam – MB

Rakyat Selangor diseru agar mengambil kesempatan menyertai Festival Turath Islami di Shah Alam yang diadakan mulai esok hingga 25 Mei ini, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran para ulama dan sarjana Islam dari dalam serta luar negara ke Selangor demi menyemarakkan lagi syiar Islam.

“Mewakili rakyat Negeri Selangor saya berbesar hati dengan kehadiran Syeikh Dr. Ali Jum’ah, Habib Umar Hafidz, Prof. Dr. Aqil Siroj, Dr. Nadirsyah Hosen, Baba Ismail Sepanjang dan Baba Hj Ghazali yang akan memeriahkan dan menyempurnakan Festival Turath Islami yang akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dari 20 hingga 25 Mei.

“Saya juga mengalu-alukan kehadiran tokoh pendakwah seumpama Mufti Menk, Wael Ibrahim dan Dr Muhammad Salah ke negeri ini. Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar rakyat dan negeri ini mendapat manfaat serta barokah dengan kehadiran para ulama serta da’i-da’i (pendakwah) tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AMIRUDIN bergambar bersama bekas Mufti Mesir Imam Ali Juma’ah yang dijemput sebagai pembentang dalam program Festival Turath Islami di Shah Alam dari 20 hingga 25 Mei 2023. Foto FB Amirudin Shari

Amirudin Shari berkata program itu mengangkat perbincangan serta penghayatan tentang kitab Ihya’ ‘Ulumudin, karya Imam Al-Ghazali sekali gus menandakan permulaan terjemahan 10 jilid kitab klasik tersebut buat kali pertamanya dalam Bahasa Melayu yang akan dilaksanakan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

“Program ini merangkumi lapan komponen termasuk Daurah Afkar Ihya’ ‘Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya’ ‘Ulumuddin, serta interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan, ahli akademik, graduan universiti, dan disempurnakan dengan program Muzakarah Ulama Umara.

“Saya bercita-cita program sebegini akan menjadikan Negeri Selangor gemilang bergemerlapan sebagai Serambi Keilmuan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata program keilmuan dan usaha penterjemahan yang sentiasa berlangsung ini membuktikan kesungguhan komitmen kerajaan negeri Selangor terhadap memantapkan syiar Islam serta menjulang Kesarjanaan Islam The Knowledge Triumphant.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menzahirkan hubungan ulama dan umara (pemerintah) yang erat melalui program dan penyebaran ilmu sebegini,” katanya.

 

Â