Hadi nasihatkan pekerja Muslim tarik diri dari Malaysiakini
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka menamakan Malaysiakini sebagai platform yang “memuatkan berita dan tulisan yang meletakkan gambaran yang berwarna Islam dan menentang Islam”.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bahkan berkata, portal berita popular itu menggalakkan perkara yang bercanggah dengan Islam.
“… mereka juga menyuruh kepada kejahatan dan menggalakkan kemungkaran, memberi laporan bagi kalangan murtad dan sebagainya.
“Saya nasihatkan kepada penganut Islam yang bertugas dengannya supaya menarik diri,” katanya hari ini menerusi siri Minda Presiden bertajuk, “Kerajaan lalang ditiup angin”.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Marang selama tiga penggal sejak 2013 itu menyifatkan Kerajaan Perpaduan seperti “makhluk yang boleh berubah warnanya bagi menyelamatkan diri mengikut keadaan sekeliling”.
Hadi yang juga pernah sepenggal menjadi Menteri Besar Terengganu pada 1999 menganggap pemimpin Kerajaan Perpaduan mengamalkan gaya hidup yang bercampur antara yang baik dengan melalaikan.
“Ada tempatnya mereka bersolat, berzikir, berselawat dan bernasyid, ada tempatnya mereka menari dan menyanyi sehingga menjerit kerana mabuk.
“Malah, ada yang berlakon dan boleh berlagak lakonannya menjadi alim, lebai dan boleh diubah lagak lakonannya sehingga menjadi samseng dan penjenayah.
“Media digunakan bagi memaparkan semua lakonan itu kepada rakyat mengikut jadual siarannya yang dapat dilihat di kaca televisyen atau komputer yang menjadi alat,” kata Hadi lagi.