Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan perlu jaga-jaga kawasan Melayu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Ismail Ahmad berpendapat komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu lebih berwaspada dengan kerusi yang dimonopoli pengundi melayu.

Menurutnya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu lebih peka dengan citarasa blok pengundi terbesar tersebut.

“Di Labu, hampir 70 peratus majoriti pengundi ialah Melayu dan ada sesetengah pihak tertentu memperalat sentimen untuk menakutkan pengundi Melayu.

“Oleh itu, menjadi tugas saya untuk menjelaskan beberapa perkara seperti isu berkaitan tanah milik orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Jelasnya, DUN Labu merupakan kawasan perindustrian baharu dan berpotensi meningkatkan ekonomi Negeri Sembilan.

Namun, katanya, isu pemilikan tanah sering dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang bagi menakutkan-nakutkan pengundi Melayu.

Dalam masa sama, Ismail yang juga Naib Pengerusi 1 PKR negeri, berpandangan agihan kerusi DUN di antara PH dan BN perlu bersandarkan keputusan PRU14.

Tambahnya, pendekatan itu memudahkan proses ke arah kesiap siagaan gabungan tersebut menjelang PRN nanti.

“Berdasarkan keputusan semasa, kesepakatan kerusi bersandar kepada penyandang parti yang memenangi PRU14.

“Ia lebih baik bagi melancarkan lagi hubungan diantara parti (PH-BN) dan jentera memandangkan kita hanya berbaki dua bulan sahaja sebelum PRN bermula,” ujarnya lagi.

Pada PRU14 tahun 2018 lalu, Ismail yang bertanding atas tiket PH menang dengan mendapat 6,712 undi manakala Hasim Rusdi mendapat 5,830 undi sekali gus menang dengan majoriti sebanyak 882.

Dalam hal berkaitan, Pengerusi PH Datuk Seri Aminuddin Harun memberi bayangan DUN akan dibubarkan pada hujung Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN melibatkan enam buah negeri.

Menteri Besar itu berkata, keputusan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat melibatkan Menteri Besar serta Ketua Menteri bagi negeri terbabit.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat memaklumkan bahawa keputusan pembubaran di negeri yang terlibat akan berlangsung pada bulan yang sama namun berlainan tarikh dan hari.