Kes fitnah: Akhirnya MB Kedah mohon maaf secara terbuka pada Mahfuz
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Mahfuz Omar kerana memfitnahnya berhubung isu perpindahan syarikat judi Kedah.
Tindakan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu susulan perintah pihak mahkamah supaya berbuat demikian.
“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan hantaran FB tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8.11.2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3.4.2023 telah memutuskan bahawa hantaran FB saya tersebut adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar, dan saya diperintahkan untuk memohon maaf.
“Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam Hantaran FB tersebut,” katanya.
Pada 3 April lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu untuk mengetepikan saman fitnah Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH.
Peguam Mahfuz, Noorazmir Zakaria, berkata panel hakim juga menerima rayuan pihaknya agar jumlah ganti rugi yang ditetapkan Mahkamah Tinggi ditambah dari RM50,000 kepada RM120,000.