Kes fitnah: Mahfuz harap Sanusi insaf, tidak koyak lagi

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Mahfuz Omar berharap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor insaf daripada membuat fitnah.

Naib Presiden AMANAH itu berpendapat Sanusi akur dengan hakikat bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkenaan telah memfitnah beliau.

“Mana kan tidak, jika Sanusi merasakan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu tidak betul, sudah pasti beliau akan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Tetapi memandangkan Sanusi tidak teruskan dengan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan, nampaknya Sanusi akur dan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Sanusi telah memfitnah saya,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata demikian mengulas permohonan maaf secara terbuka oleh Sanusi hari ini terhadapnya kerana fitnah berhubung isu perpindahan syarikat judi Kedah.

Tindakan Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu susulan perintah pihak mahkamah supaya berbuat demikian.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan hantaran FB (Facebook) tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8.11.2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3.4.2023 telah memutuskan bahawa hantaran FB saya tersebut adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar, dan saya diperintahkan untuk memohon maaf.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam hantaran FB tersebut,” kata Sanusi lagi.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Sanusi akhirnya akur bahawa beliau hakikatnya tidak ada langsung sebarang kaitan dengan pemindahan premis pusat judi Sports Toto seperti yang difitnahkan.

“Keputusan mahkamah yang mendapati Sanusi bersalah memfitnah saya membuktikan tidak pudar sentiviti saya terhadap isu-isu seperti yang didakwa oleh Sanusi dalam fitnahnya terhadap saya. Alhamdulillah,” kata Mahfuz lagi.