Konvensyen Perpaduan peringkat negeri perkukuh kerjasama hadapi PRN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi menyambut baik cadangan agar Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan dapat diadakan bagi peringkat negeri.

Menurutnya, konvensyen berkenaan dilihat mampu membentuk lebih keserasian antara parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan khususnya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.

“Saya setuju sekiranya dapat dilaksanakan konvensyen sehingga ke peringkat negeri-negeri dalam usaha untuk memperkukuhkan kerjasama.

“Konvensyen di peringkat persekutuan baru-baru ini nampaknya sangat berjaya dengan kehadiran ramai pemimpin dan anggota parti daripada akar umbi dan sewajarnya diperluas ke peringkat negeri khususnya di Selangor,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Najwan Halimi

Katanya, ia bagi memastikan akar umbi daripada parti masing-masing dapat menyertai konvensyen berkenaan dengan menjadikan ia sebagai platform untuk berkongsi maklumat serta memberi pandangan sebagai persediaan menghadapi PRN tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Cabang PKR Shah Alam itu juga berkata, menerusi konvensyen tersebut banyak hal terkait dapat dibincangkan dan diperhalusi bagi mencari titik persamaan bukan sahaja soal agihan kerusi, malah gerak kerja bagi menghadapi PRN.

“Sekarang ini kita dalam proses mengadakan rundingan antara PH dan BN untuk agihan kerusi.

“Saya rasa penting sekiranya konvensyen dapat dilaksanakan bagi memperkukuhkan hubungan anggota dan pimpinan akar umbi supaya apabila kita hendak masuk PRN nanti akan lebih memperkemaskan gerak kerja kita secara bersama,” katanya.

Najwan turut memberi keyakinan bahawa impak konvensyen itu akan mampu memberikan keputusan baik khususnya dalam usaha untuk mendapatkan kemenangan dan seterusnya kekal mentadbir negeri Selangor.

Pada 15 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan turut diadakan di peringkat negeri supaya dapat memberi peluang kepada lebih ramai akar umbi parti untuk menyuarakan pandangan serta idea mereka.

Dilaporkan, Kedah merupakan negeri pertama yang akan menganjurkan Konvensyen Perpaduan menjelang PRN dan dijangka seramai 1,300 perwakilan daripada gabungan parti Kerajaan Perpaduan akan menghadiri konvensyen itu yang akan berlangsung di Ampang Business Centre, Alor Setar, pada 21 Mei ini.