KPDN komited luaskan inisiatif Payung Rahmah demi Malaysia Madani

Skim Simen Rahmah yang diperkenalkan kerajaan pada pertengahan April lalu, dilihat berupaya mengurangkan harga rumah sehingga RM5,000.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menawarkan 20 juta kampit simen.

“Kerjasama antara KPKT dan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) ini menawarkan 20 juta kampit simen untuk pemaju rumah mampu milik.

“Ia secara tidak langsung membantu mengurangkan kos pembinaan. KPDN akan terus berusaha memperluas Payung Rahmah menerusi kerjasama dan sokongan semua pihak demi Malaysia Madani,” tulis beliau dalam satu catatan di Facebook rasminya hari ini.

Pada 18 April lalu, KPKT memperkenalkan Inisiatif berkenaan untuk kemajuan rumah mampu milik dengan kerjasama C&CA dan juga pemaju perumahan swasta.

Inisiatif itu melibatkan harga dalam kategori rumah mampu milik iaitu berharga RM300,000 dan ke bawah untuk kumpulan sasaran B40 dan M40.

Menerusi insiatif itu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata C&CA telah menawarkan 1 juta tan metrik simen pukal (bulk cement) dengan harga RM290 setiap tan metrik berbanding harga pasaran semasa RM410.00 setiap tan metrik.

Penurunan itu katanya, adalah sebanyak RM120 setiap tan metrik bersamaan insentif sebanyak 29.3 peratus daripada pembekal simen.

“Nilai 1 juta tan metrik simen ini akan ditukarkan kepada 20 juta kampit simen standard dengan berat 50 kilogram.

“Pada masa ini, nilai harga kampit simen di pasaran adalah RM22.50 sekampit dan akan diturunkan kepada RM17.50 sekampit iaitu penurunan sebanyak 22.2% sekampit atau bersamaan RM5.00 sekampit,” katanya lagi.