Mengapa Hamzah tidak keluar arahan baharu semasa 33 bulan pegang KDN?

Tuduhan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa Kerajaan PH-BN tidak sensitif soal penggunaan kalimah Allah dianggap mengelirukan, kata peguam Dr Zuqarnain Lukman.

Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) itu mempersoalkan jika bekas Menteri Dalam Negeri kerajaan PN itu benar-benar ingin menjaga kalimah Allah kenapakah beliau tidak mengeluarkan surat Arahan Pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang baharu?

Katanya Arahan Pentadbiran baharu itu adalah untuk menggantikan surat KDN yang sudah terbatal dan tidak berperlembagaan itu semasa beliau berkuasa selama 33 bulan.

Sebaliknya katanya Hamzah pula mengecam Menteri Dalam Negeri sekarang, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang ingin mengeluarkan Arahan Petadbiran yang baharu.

“Oleh itu, tindakan Menteri KDN yang baharu menarik balik rayuan dan move foward, untuk mengeluarkan surat KDN yang baharu itu adalah tindakan yang lebih wajar berbanding untuk meneruskan rayuan yang belum tentu menang atau kalah.

“Mengeluarkan surat KDN yang baharu jauh lebih mudah dan lebih senang daripada menyediakan bersusun-susun Rekod Rayuan, hujahan dan ikatan autoriti untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Ingatlah bahawa keputusan Mahkamah berbentuk hitam atau putih. Tiada keputusan seri di Mahkamah. Yang menang akan menang semua dan yang kalah akan kalah semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberikan reaksi terhadap kenyataan Hamzah yang dimuat naik melalui rakaman video semalam berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes berkaitan rampasan cakera padat (CD) daripada seorang wanita Sarawak Jill Ireland Lawrance Bill yang mempunyai kalimah Allah.

Di akhir kenyataannya, Hamzah menyatakan; “Justeru, keputusan kerajaan Perikatan Nasional yang memfailkan rayuan menggunakan saluran perundangan dan kehakiman dalam memelihara kesucian agama Islam dan kalimah Allah adalah tepat, sebaliknya keputusan kerajaan campuran PH-BN yang menarik balik rayuan adalah salah dan tersasar sama sekali.

“Jelas, keputusan menarik balik rayuan ini membuktikan bahawa Anwar, kerajaan pimpinannya tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah…”

Zulqarnain berkata kenyataan Hamzah berkaitan kes Jill Ireland ini perlu diperbetulkan faktanya kerana Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin hanya memberikan penghakiman untuk membatalkan Surat KDN bertarikh 5 Disember 1986.

“Hakim Nor Bee tidak mengubah status quo penggunaan kalimah Allah seperti yang diputuskan dalam kes Titular Roman,” tegasnya.

Memetik penghakiman tersebut, Zulqarnain menyebut Hakim Nor Bee menyatakan: “Needless to say, and without more, the same constraint applies. I am duty- bound to abstain from considering any challenges on the prohibition of the use of the word “Allah” in considering the challenge on the impugned Directive as the challenge on such prohibition must not be done in a collateral manner.

Terjemahan: “Tidak perlu dikatakan, dan tanpa lebih, kekangan yang sama dikenakan. Saya berkewajipan untuk mengelak daripada mempertimbangkan sebarang cabaran mengenai larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam mempertimbangkan cabaran terhadap Arahan yang dipertikaikan kerana cabaran terhadap larangan tersebut tidak boleh dilakukan secara serangan kolateral.”

Zulqarnain menjelaskan, selanjutnya, tidak ada masalah bagi Hamzah untuk mengarahkan supaya difailkan Notis Rayuan kerana ia sememangnya menjadi hak pihak yang kalah untuk memfailkan notis tersebut.

“Notis Rayuan pula ada tempoh tertentu dan tidak boleh difailkan melebihi daripada tempoh tersebut. Jadi sebelum impak kes itu dicernakan oleh KDN sememangnya perlu difailkan Notis Rayuan dan selepas impak kes itu lumat dibincangkan maka Notis Rayuan itu boleh ditarik balik,” katanya.

Beliau menegaskan isu ini bukan isu mengubah fatwa kebangsaan mengenai penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian, bukan isu melanggar titah Sultan Selangor atau Sultan Johor berkaitan larangan penggunaan kalimah Allah.

“Hakim Nor Bee langsung tidak menyebut hal ini. Perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat yang dilarang digunakan seperti mana arahan Kabinet pada tahun 1986 masih kekal. Hakim Nor Bee tidak membatalkan keputusan Kabinet itu.

“Hakim Nor Bee hanya membatalkan sekeping Surat KDN. Ya, hanya sekeping surat sahaja yang dibatalkan dan surat seperti ini boleh dikeluarkan oleh KDN pada bila-bila masa bagi menggantikan surat KDN yang dibatalkan,” jelasnya.

Persoalannya sekarang, Zulqarnain berkata kenapakah Hamzah tidak mengeluarkan surat KDN yang baharu padahal beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri selama 33 bulan?

“Susah sangatkah hendak mengeluarkan sekeping surat baharu untuk menggantikan surat yang telah dibatalkan oleh Mahkamah. Walhal, semasa beliau menjadi Menteri KDN, beliau sendiri pernah kenyataan beliau akan mengeluarkan Surat KDN yang baharu,” bidasnya.

BACA JUGA: Kalimah Allah: KDN perlu keluarkan arahan pentadbiran baharu – KANUN