Selangor sedia 2,000 dos vaksin Pneumokokal percuma jemaah haji

Kerajaan negeri bersetuju menyediakan sebanyak 500 dos tambahan suntikan vaksin Pneumokokal secara percuma kepada jemaah haji Selangor tahun ini.

Perkara itu merupakan keputusan Mesyuarat Exco kerajaan Selangor pada 17 Mei lalu, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar dalam infografik yang dikongsi di Facebooknya berkata dos tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan vaksin sebanyak 2,000 dos.

Terdahulu kerajaan negeri mengumumkan pemberian 1,500 dos suntikan vaksin Pneumokokal percuma kepada jemaah haji Selangor.

Mereka telah menerima dos suntikan tersebut di Masjid Negeri Shah Alam sempena Kursus Perdana Haji 1444H pada 7 Mei lepas.

Terdahulu kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Incorporated) MBI turut menawarkan Insentif Haji Muassasah 1444H / 2023M kepada 3,000 bakal jemaah haji dari Selangor.

Para jemaah haji dari Selangor akan menerima RM500 serta kit istimewa termasuk ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen, serta pelembap bibir.

Ianya melibatkan peruntukan sebanyak RM1.65 juta dan urusan permohonan akan dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri masing-masing dengan MBI sebagai pelaksana program.

Permohonan insentif itu boleh dilakukan mulai hari ini (19 Mei) melalui pejabat wakil rakyat masing-masing.

Jemaah haji boleh merujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN melalui pautan https://bit.ly/3ByFSxm

Sementara itu, dalam perkongsian sama, Amirudin turut berkata kerajaan negeri bersetuju menambah 656 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sepanjang lima tahun.

Jelas beliau pelantian akan dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) secara berperingkat mulai tahun ini hingga 2027.

Katanya tambahan guru itu melibatkan peruntukan sebanyak RM14.5 juta.

BACA JUGA: Jemaah haji Selangor dapat insentif RM500, permohonan dibuka Jumaat 

1,500 Jemaah Haji bakal dapat vaksin Pneumokokal percuma