‘Tangani berhati-hati, semua pihak cuba selesaikan dengan baik’

Isu penggunaan kalimah Allah yang kembali hangat diperkatakan ketika ini, dilihat perlu ditangani dengan amat berhati-hati dan tidak boleh dipolitikkan.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpendapat, isu seperti itu boleh mencetuskan api kemarahan dengan cepat.

“Negara kita ini berbilang kaum. Isu-isu yang berkait dengan agama dan juga kaum sebolehnya ditangani dengan amat berhati-hati.

“Orang mudah terpengaruh dengan isu seperti itu apatah lagi jika kita menyebarkan maklumat yang tidak betul. Kita lihat semua pihak cuba menyelesaikannya dengan baik.

“Pendapat saya, isu ini tidak boleh diselesaikan dengan kekerasan, melainkan kita kena menggunakan saluran diplomasi supaya dapat mengekang kemungkinan tercetusnya rasa tidak puas hati,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya berkenaan isu kalimah Allah ekoran semakan kehakiman melibatkan rampasan VCD milik Jill Ireland yang dilihat memacu rasa tidak puas hati masyarakat Islam selain dieksploitasi pihak pembangkang.

Terbaharu, jemaah menteri dilapor akan mengetengahkan beberapa usul bagi mengukuhkan dasar berhubung penggunaan kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja bagi mengelak sebarang isu timbul membabitkan pertikaian di mahkamah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penggunaan kalimah Allah sudah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan sejak 1986.

“Kita bergelut lagi dengan isu kalimah Allah, tiada perbezaan, keputusan kerajaan dan Majlis Raja-Raja Melayu sejak 1986.

“Walaupun ada pandangan berbeza tetapi keputusannya bahawa kalimah Allah itu adalah digunakan dalam masyarakat Islam dan juga kitab-kitab Islam, tapi untuk Sabah dan Sarawak diputuskan ia membolehkan.

“Saya telah menghubungi Yang di-Pertuan Agong, saya maklumkan jemaah menteri buat keputusan dan tidak ubah, tetapi mahu perkemaskan beberapa isu supaya tidak timbul pertikaian di mahkamah dan sebagainya.

“Kami akan usulkan beberapa cadangan memperkemas keputusan itu dan kami akan bawa untuk pertimbangan dan perkenan Raja-Raja Melayu,” kata Anwar lagi.