Umat Islam perlu fahami fakta sebenar, usah bakar isu agama

Kepercayaan dan keyakinan umat Islam di negara ini terhadap Kerajaan Perpaduan ialah perkara utama yang sangat perlu bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan secara tepat dan betul, kata Syed Ibrahim Syed Noh.

Pengarah Modal Insan PKR itu berkata tiada keperluan bagi mana-mana pihak untuk meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama serta kaum melalui pandangan melampau.

“Jadi dalam konteks ini, saya percaya isu kalimah Allah yang sensitif berkenaan dengan agama atau kaum tidak perlu diambil secara ekstrem.

“Tidak perlu terlalu berprasangka buruk dan kita sebagai umat Islam harus beri keyakinan untuk kerajaan menyelesaikannya dengan baik,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, isu kalimah Allah tidak harus dijadikan polemik kerana ianya telah pun dijelaskan pelbagai pihak termasuk oleh Perdana Menteri sendiri dan ia masih mengikut dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, masyarakat Islam perlu mengambil sikap bertenang dan memahami isu sebenar sebelum membuat sesuatu tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan.

“Saya percaya memang itulah sepatutnya sikap masyarakat Islam untuk bertenang dan membiarkan proses penjelasan itu berlaku.

“Jadi, tidak perlulah ada pelbagai dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan atau sensitif tentang hak orang Islam,” katanya.

Tambahnya lagi, segala sangkaan jahat terhadap kerajaan adalah hanya satu andaian sahaja yang sebenarnya tidak membantu untuk menyelesaikannya.

17 Mei lalu, Kabinet telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai

Perkara berkenaan antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri itu berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.