Unit MPV buat tangkapan 770 kes jenayah, lebih 76,000 saman dikeluar – KPN

Polis Diraja Malaysia (PRDM) melalui Unit Kereta Peronda (MPV) telah menjalankan sebanyak 872,283 pemeriksaan kenderaan dengan sejumlah 76,768 saman dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata anggota unit MPV juga telah menjalankan sebanyak 1,651 tangkapan dengan 770 tangkapan berkait kes jenayah, 777 adalah tangkapan berkait kes narkotik dan 104 lain-lain kes.

“Dalam pada itu, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) turut melaksanakan sebanyak 154,887 aktiviti Stop and Talk serta Meet and Greet sebagai usaha mendekatkan lagi PDRM dengan masyarakat,” katanya dalam perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Pada himpunan itu Acryl Sani menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 37 pegawai polis dan pegawai awam dari pelbagai jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing.

Acryl Sani berkata kehadiran elemen rondaan MPV dan URB di kawasan kediaman, komersial dan perindustrian berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap jaminan keselamatan diri dan harta benda termasuk pada musim perayaan.

Beliau berkata tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ mengangkat betapa pentingnya kuasa jalinan antara polis dan masyarakat dalam usaha mencegah jenayah ke arah mewujudkan persekitaran selamat di negara ini.

“Justeru itu, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan penglibatan dengan semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program berkonsepkan Kepolisan Masyarakat,” katanya.