Gabungan PH-BN mampu beri kemenangan besar di Negeri Sembilan

Pengaruh Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan dianggap tidak kuat berbanding di negeri-negeri di utara dan pantai timur tanah air.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpendapat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan besar jika bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jika kita lihat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN di Negeri Sembilan tidak cemerlang, yang menguasai negeri tersebut hanya dua parti sahaja iaitu BN dan PH.

“Saya lihat Negeri Sembilan ini satu negeri yang tidak kuat pengaruh PN. Sama ada Bersatu atau pun Pas, ianya tidak kuat berbanding di negeri utara dan pantai timur.

“Jadi, jika PRN kali ini PH dan BN setuju untuk bekerjasama, sudah pasti ia akan memberi kemenangan besar kepada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kerjasama yang baik antara gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan khususnya di negeri Adat Perpatih itu, sekali gus berpotensi meraih kemenangan pada PRN tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Dr Mazlan menyifatkan kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan kekuatan dalam Kerajaan Perpaduan yang akan mempertahankan negeri itu dalam PRN nanti.

“Sepanjang pentadbirannya di Negeri Sembilan, pada saya beliau (Aminuddin) adalah menteri besar yang cemerlang.

“Ini kerana saya lihat tidak banyak isu yang terpalit dengan beliau. Malah, isu berkaitan polisi dan dasar-dasar kerajaan dikelola dengan baik,” ujarnya lagi.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri lain juga bakal terlibat dalam PRN ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Rembau, Tampin, Jempol, Jelebu dan Kuala Pilih manakala tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA PH Negeri Sembilan bermesyuarat minggu depan bincang PRN