Isu kalimah Allah: Kabinet akan putuskan kementerian mana diberi tanggungjawab
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, Kabinet yang akan memutuskan kementerian mana diberikan tanggungjawab bagi menguruskan isu berkait penguatkuasaan dan mempersembahkan cadangan kerajaan bagi menguatkuasa undang-undang berkaitan kalimah Allah.
Menurut Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, seperti yang dinyatakan sebelum ini, perkara tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet terlebih dahulu.
“Kabinet yang akan memutuskan kementerian mana yang diberikan tanggungjawab dan dimaklumkan selepas itu,” dipetik BH.
Pada 17 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu itu secara menyeluruh dan bersepadu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar berkata, kerajaan juga komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.
Mengulas lanjut, Na’im berkata, mesyuarat Kabinet juga akan membincangkan koordinasi dengan mana-mana kementerian berhubung isu kalimah Allah terlebih dahulu dan akan dimaklumkan perinciannya nanti.
“Apa pun Jemaah Menteri sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja dan perkara itu adalah tertib dan lunas yang sebaiknya,” katanya lagi.
Â