Kerajaan Perpaduan umum RM1 bilion untuk air bersih di Kelantan

Walaupun dikenali sebagai ‘lubuk’ Pas, Kerajaan Perpaduan komited untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan yang berlarutan sejak puluhan tahun.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi pembekalan air bersih di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, peruntukan tersebut bermula tahun ini.

“Ia sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peruntukan akan dilakukan secara tatakelola terus, manakala dari segi operasi kita serahkan kepada Kementerian Kewangan,” lapor BH.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa masalah berkaitan bekalan air di Kelantan perlu diselesaikan tanpa mengira fahaman politik.

Bagi tujuan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan sedia mencari dana bagi menyelesaikan masalah itu menerusi kaedah yang betul dengan kerjasama penuh kerajaan negeri.