Menteri seru daftar dengan Jabatan Pertanian mudahkan saluran bantuan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru kepada semua petani yang belum berdaftar dengan Jabatan Pertanian supaya segera berbuat demikian bagi memudahkan saluran bantuan.
Menurutnya, kegagalan berdaftar dengan pihak Jabatan Pertanian menghalang pelbagai maklumat dan bantuan termasuk daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sampai kepada golongan petani.
“Apabila petani tidak berdaftar dengan Jabatan Pertanian di daerah masing-masing, maka banyak maklumat seperti bantuan input pertanian, inisiatif Skim Harga Lantai FAMA serta bantuan khidmat nasihat dan rundingan tidak sampai kepada mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian mengulas aduan petani tertentu dalam seminggu dua ini berkenaan penurunan harga beberapa jenis sayur-sayuran.
“Saya telah mengarahkan para pegawai untuk bertemu terus dengan petani yang terlibat dan mencari jalan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Daripada laporan yang saya terima, kebanyakan petani ini tidak mendaftarkan usaha mereka dengan Jabatan Pertanian kerana beberapa sebab.
“Antara sebabnya adalah masalah status tanah yang tidak jelas seperti kes yang berlaku di Jalan Kebun Klang ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook sambil berkongsikan klip video rungutan petani terbabit.