Nasib nelayan Kuala Sedaka, Sungai Limau Dalam bakal terbela

Nasib komuniti nelayan di Kuala Sedaka, Yan Kedah dan di Sungai Limau Dalam, Kota Sarang Semut bakal terbela dengan inisiatif penambahbaikan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pembelaan nasib nelayan di kawasan itu termasuklah dengan pendaftaran lesen bot, pembinaan jeti tambahan dan juga usaha mendalamkan muara.

“Saya juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaiki bumbung dan lantai jeti pendaratan di Kuala Sedaka.

“Peralatan touch point seperti tong ikan, pukat, dan jaket keselamatan turut diserahkan kepada beberapa nelayan yang layak mendapatnya,” tulis beliau dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir mengadakan tinjauan dan sesi dialog bersama para nelayan di Kuala Sedaka dan Sungai Limau.

Katanya, ketika sesi dialog itu berlangsung, beliau mendapati banyak masalah yang dibangkitkan nelayan dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membela nasib golongan berkenaan.