Salahuddin jadi ‘spy’ di Terengganu pantau kenaikan harga makanan

Harga makanan di Terengganu dilihat terkawal apabila seorang menteri mengambil inisiatif ‘turun padang’ untuk memantau agar tiada peniaga yang menaikkan harga makanan sesuka hati.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di negeri itu tempoh hari, beliau dijemput menyertai program Bicarawara di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu (RTM).

Beliau berkata, dalam program itu beliau turut menceritakan pengalamannya menjadi ‘spy’ untuk memantau harga makanan yang diletakkan oleh peniaga di negeri berkenaan.

“Saya memantau (harga-harga makanan), takut-takut ada peniaga yang menaikkan harga secara sesuka hati.

“Alhamdulillah, harga makanan di Terengganu terkawal, malah ada juga peniaga yang menawarkan Menu Rahmah.

“Ini adalah sebahagian usaha berterusan kami di KPDN bagi menjamin kesejahteraan sosial dan ekonomi menerusi semua Inisiatif Payung Rahmah, selaras dengan matlamat Malaysia Madani,” tulis beliau menerusi satu catatan di Facebook rasminya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu lagi, beliau juga teruja apabila berkunjung ke tapak kendera saji (food truck) berdekatan jambatan angkat di Kuala Terengganu.

Beliau menyifatkan, tapak perniagaan itu memainkan peranan penting untuk menjana ekonomi setempat, selain menjadi daya tarikan pelancong negeri Terengganu.

BACA JUGA KPDN sambut baik peruntukan RM100 juta Jualan Rahmah – Salahuddin