Selepas gelar filem Anwar ‘haprak’, Khairuddin dihujani kecaman
Bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dihujani kecaman orang ramai gara-gara mengutuk filem Anwar: The Untold Story.
Orang ramai menyelar penyokong tegar Tun Dr Mahathir Mohamad itu malah mengaitkan dengan prestasi corotnya dalam pilihan raya umum lalu sebagai calon Parlimen Titiwangsa.
“Kewujudan kau (Khairuddin) sekarang ni untuk apa sebenarnya? Rakyat pun dah tolak. Parti (Pejuang) entah ke mana. Tiba-tiba buat ulasan (filem), tiada siapa tanya.
“Kenapa dihaprakkan hasil kerja orang? Awak tak suka Anwar saya boleh faham. Pendapat manusia berbeza-beza tapi janganlah menghina orang yang berkarya.
“Orang beza ribu-ribu (undian) saja. Kau beza jauh sangat apasal? Malu, orang tak mau kau,” demikian antara kecaman warganet membalas ciapan Khairuddin.
Terdahulu, Khairuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) berkata, dia baharu menonton filem Anwar yang dianggapnya “amat memualkan serta meloyakan”.
“Filem ‘haprak’ yang berunsur propaganda untuk memfitnah dan mencemarkan reputasi Tun Dr Mahathir Mohamad sekaligus mengangkat diri sendiri seperti ‘Godfather.’
“Pembikinan filem tanpa proses kajilidik yang berteraskan fakta yang tepat serta banyak unsur-unsur ‘misleadings.’
“Tiadakah pengarah dari Malaysia untuk mengarah filem ini? Siapa yang menulis skrip filem ini?” ciap Khairuddin menerusi Twitter sebelum diserang bertalu-talu oleh warganet.