Selepas PM Anwar, Fadhlina pula ziarah isteri Almarhum Nik Aziz

Selepas seminggu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dua anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Pendidikan Fadhlina Siddiq pula hari ini menziarahi keluarga besar bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Fadhlina memberitahu beliau berkesempatan menziarahi Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak iaitu isteri kepada Almarhum Nik Aziz di Pulau Melaka, Kota Bharu.

Anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil itu juga berkata, bekas Ahli Parlimen Pas, Nik Muhammad Abduh berkesempatan membawanya melawat Maahad Tahfiz dan Pengajian Al-Quran Nikmatillah.

“Saya sempat beramah mesra bersama anak-anak pelajar serta mendengar taklimat ringkas dari pihak maahad,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Beliau berpendapat usaha membangunkan sekolah rakyat yang dibina daripada sumbangan pelbagai pihak adalah usaha murni bagi memberikan pendidikan alternatif kepada ibu bapa dan pelajar khususnya dalam pengajian agama dan menghafaz al-Quran.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak maahad yang menerima kunjungan saya dan memberikan kepada saya sedikit sebanyak input berkenaan sekolah-sekolah agama di Kelantan,” kata Fadhlina lagi.

Kehadiran menteri daripada Kerajaan Perpaduan bersama pemimpin Pas berkenaan dilihat menarik perhatian banyak pihak apatah lagi kalangan penyokong tegar parti pembangkang itu.

 

BACA JUGA Program besar-besaran selesai masalah air di Kelantan, Sabah – Anwar