Sokongan ahli, penyokong DAP kepada calon Umno elak pembangkang menang

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching menegaskan sokongan ahli dan penyokong DAP kepada calon-calon Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi mengelak kemenangan kepada pembangkang.

Justeru, beliau meminta ahli dan penyokong parti itu mengetepikan perbezaan dan memberi sokongan serta undi kepada calon Umno, yang juga parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN.

“Kita tidak akan serahkan usaha menarik pengundi kepada pihak lain. Kita akui sokongan masyarakat Melayu terhadap DAP sedikit kurang, namun itu tidak halang kita dekati masyarakat Melayu.

“Pendekatan kita kekal untuk mendekati pengundi berbilang kaum, buktinya adalah bahan publisiti yang dikeluarkan dibuat dalam pelbagai bahasa, iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan juga Tamil,” dipetik BH.

Teo Nie Ching

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, mandat rakyat amat penting dan kemenangan Kerajaan Perpaduan adalah tanda keyakinan terhadap kemampuan dan pencapaian kerajaan.

“Sekarang kami (DAP, Umno) duduk dalam kerajaan perpaduan, jadi semua parti politik kerajaan yang bertanding PRN akan datang perlu menang untuk pastikan kestabilan kerajaan perpaduan.

“DAP sudah pasti mahu menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Kami juga berharap rakan komponen seperti PKR, AMANAH dan Umno turut menang di kawasan yang ditandingi mereka,” ujarnya.

Naib Pengerusi DAP Johor itu juga berkata, jika semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan boleh menang dengan besar dalam PRN, itu satu tanda bahawa rakyat yakin dengan kemampuan dan pencapaian kerajaan.

PRN bagi Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka pada Julai atau Ogos.

Kebanyakan negeri dengan setakat ini – Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu – mengesahkan akan membubarkan DUN hujung Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran PH manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan di bawah Perikatan Nasional (PN).

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan perlu jaga-jaga kawasan Melayu