‘Syabas Umno, ini baru betul-betul lawan sudah jadi kawan’

Kata pepatah – selagi air bah, sekali pantai berubah. Bagi mereka yang dulu-dulu tinggal di perkampungan tepi pantai, apabila berlaku air bah, bukan saja pantai yang berubah, malah tandas pun turut kena ubah atau hilang sekali entah ke mana.

Begitulah erti sebuah perubahan dalam kehidupan yang kadang-kadang berlakunya itu kerana tidak mampu lagi untuk kita elak dan kena diterima seadanya.

Juga kadang-kadang, perubahan itu begitu drastik sehingg tidak terjangkau dek akal yang logik untuk memikirkannya.

Dalam hal ini, siapa tidak kenal dengan perjuangan Umno yang memang sejak dulu begitu anti dan amat kuat menentang DAP.

Bahkan, pada tahun-tahun kebelakangan ini, selain ‘No Anwar’, ungkapan ‘No DAP’ juga begitu sering menggegar Dewan Merdeka dan menaikkan bulu roma pejuang-pejuang parti yang berhimpun di dalamnya.

Namun, keputusan PRU15 lalu umpama adalah bah yang mengubah segala-galanya.
Sejak itu selain Anwar diberikan sokongan sebagai Perdana Menteri, lebih daripada itu, DAP yang merupakan komponen PH juga diterima sebagai rakan kongsi.

Meskipun Umno belum pernah sampai ke pejabat DAP, tetapi pemimpin-pemimpin DAP kini sudah pun menjejakkan kaki ke Menara Dato’ Onn di mana terletaknya ibu pejabat Umno serta ke Dewan Merdeka, tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno pada setiap tahun.

Seiring itu, menjelang PRN enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Umno sekali lagi melakukan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan keberadaannya dalam kerajaan perpaduan sekarang ini.

Perubahan yang dilakukan ialah dengan meminta kesemua 3.5 juta ahli Umno agar perlu mentaati arahan parti, termasuk mengundi calon DAP yang mewakili PH dalam PRN tersebut nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan berkata, ahli parti perlu mengetepikan sentimen masing-masing dan mesti sedia memberi undi kepada rakan kongsi untuk meneruskan kestabilan kerajaan sedia ada.

“Apabila kita sudah berada dalam kerajaan perpaduan ini, maka kita hendaklah mengikut disiplin parti dengan memastikan arahan parti dituruti.

“Memanglah undi itu rahsia tapi gesaan saya ialah bukan atas nama DAP, bukan atas nama parti-parti tetapi atas nama kerajaan perpaduan.

“Jadi sentimen-sentimen yang ada pada diri kita hendaklah kita tinggalkan kerana dinamika politik Malaysia ini begitu hebat.

“Kita lihat apa yang berlaku sudah berlaku dan kita inginkan kestabilan,” kata Timbalan Menteri Kewangan itu lagi.

Untuk kenyataan hebat ini, syabas diucapkan kepada Ahmad Maslan kerana paling awal melakukan keberanian yang luar biasa iaitu daripada antara yang paling lantang melaungkan ‘No DAP’ ketika sebagai Setiausaha Agung Umno sebelum ini kepada menggesa memberi undi kepada calon PH, termasuk DAP menjelang pengundian PRN akan datang nanti.

Ini baru betul-betul lawan sudah jadi kawan.