Zahid yakin jentera PH-BN serasi untuk PRN Selangor

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan pentadbiran di Selangor.

Beliau turut percaya wujud keserasian antara jentera pilihan raya BN dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

“Saya yakin dengan keserasian yang diwujudkan bukan saja di antara Pengerusi BN negeri dan juga Pengerusi PH negeri, malah di peringkat jentera, saya yakin keserasian itu dapat diwujudkan dengan baik untuk PRN nanti,” katanya dipetik BH.

Presiden Umno itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Gombak malam tadi.

Mengulas mengenai pengundian untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gombak, beliau juga yakin pengundi akan membuat pilihan tepat.

“Untuk kawasan Gombak, saya yakin pengundi kenal mana yang intan manakah yang kaca.

“Saya yakin pengundi Gombak tidak akan tersalah pilih untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Untuk rekod, terdapat tiga kerusi DUN dalam Parlimen Gombak iaitu Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata, keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dapat diberi keutamaan sekiranya Kerajaan Perpaduan terus menguasai kerajaan negeri Selangor.

“Apa yang penting, apabila kerajaan negeri terus dipegang oleh Kerajaan Perpaduan ini, InsyaAllah bukan saja daripada segi kemajuan pertumbuhan ekonomi dan industri tetapi soal kebajikan rakyat, soal kesejahteraan rakyat pasti diberi keutamaan,” katanya lagi.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH menang di 40 daripada 55 kerusi DUN di Selangor dengan PKR memenangi 19 kerusi, DAP (15) dan AMANAH (enam).

BN dan Perikatan Nasional (PN) pula memenangi masing-masing lima kerusi.

Â