Azmin tidak relevan lagi

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Datuk Seri Azmin Ali semakin tidak relevan di dalam partinya sendiri hingga terpaksa berpindah kawasan untuk bertanding.

“Azmin semakin tidak relevan kerana ingin pergi ke tempat yang jauh,” kata Hasnul Baharuddin, Adun Morib yang juga pemimpin Amanah.

“Sekiranya dicalonkan sekali lagi oleh parti, saya ucapkan selamat datang ke Morib kepada beliau,” katanya ketika dihubungi oleh Harapan Daily.

Beliau yang juga timbalan speaker DUN berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan media bahawa Azmin dijangka dipindahkan ke kerusi selamat Morib dari Bukit Antarabangsa.

Selain Morib, Bersatu dikatakan menimbang sehingga enam pilihan lain, termasuk Sijangkang, untuk pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu.

“Memang ada rancangan letak Azmin di Morib tetapi keputusan akhir pucuk pimpinan yang tentukan,” sumber dipetik berkatanya.

Morib dan Sijangkang merupakan DUN di bawah parlimen Kuala Langat.

Ketika Pilihan Raya Umum ke 15, kerusi parlimen dimenangi oleh Dr Ahmad Yunus Hairi daripada PAS. Dr Ahmad juga adalah Adun Sijangkang.

Hasnul bagaimanapun yakin bahawa Pakatan Harapan akan mempertahankan Morib dan memenangi Sijangkang.

“PH sudah bersiap sedia walaupun tewas di peringkat parlimen kerana ada ahli Umno undi protes terhadap calon MIC yang bertanding di sini,” katanya merujuk kepada Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy.

“Kita sudah bersedia. Di Sijangkang pun, peluang untuk menang sangat cerah.”

Kerusi Kuala Langat secara tradisinya ditandingi oleh Umno tetapi telah diberikan kepada MIC.

Untuk rekod, Hasnul ialah Adun penggal kedua Morib. Beliau mempertahankan kerusinya dengan majoriti 2,117 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

BACA JUGA: PH akan ‘bungkus’ Shahidan dalam PRN Selangor