Langkah ke depan untuk Umno, DAP berdepan PRN

Seorang penganalisa politik menegaskan bahawa Umno dan DAP perlu menggerakkan jentera masing-masing dengan pencerahan undi kepada mereka adalah undi demi kerajaan perpaduan di dalam pilihan raya negeri (PRN).

“Perlu ada pencerahan bahawa kerajaan yang ada ini adalah kerajaan perpaduan. Apa yang perlu diundi di dalam PRN akan datang adalah kerajaan perpaduan, bukannya DAP, Umno, AMANAH atau PKR. Sebaliknya yang diundi adalah kerajaan perpaduan walaupun di bawah logo masing-masing tapi semua itu bergerak atas nama kerajaan perpaduan,” kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Selain itu kedua-dua parti tersebut perlu memberi memastikan tiada kekeliruan dalam kalangan anggota parti di semua peringkat. DAP dan Umno juga diseru menjelaskan isu Melayu Islam.

“DAP dan Umno perlu sama-sama mengadakan pencerahan di peringkat akar umbi dan pimpinan pertengahan. Ini untuk memastikan tiada kekeliruan.

“Mereka juga perlu menjelaskan isu-isu berbangkit terutamanya sentimen Melayu – Islam dengan bijaksana dan tidak terperangkap dengan mainan politik yang berkisar pada etnik dan agama semata-mata.”

Beliau turut menyatakan keperluan untuk gabungan PH dan BN di dalam kerajaan perpaduan mempunyai agenda ekonomi dan pembangunan.

“Untuk bergerak ke depan, yang diperlukan adalah satu agenda ekonomi dan pembangunan bukan isu etnik dan agama.”

Beliau berkata begitu ketika mengulas pengakuan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa adalah sukar untuk ahli Umno menerima DAP.

Walau bagaimanapun Ahmad Zahid yakin dengan strategi yang akan digunakannya untuk meyakinkan ahli dan penyokong Umno untuk sama -sama memberikan sokongan kepada komponen parti Kerajaan Perpaduan sepertimana yang diamalkan oleh BN ketika ia berkuasa dahulu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching turut menegaskan keperluan sokongan ahli dan penyokong DAP kepada calon-calon Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Formula kekalkan kuasa

Sementara itu penganalisa politik dari Universiti Tasmania, Australia, Dr James Chin pula mengakui perkara ini sukar untuk dicapai tetapi memberikan naratif yang boleh digunakan oleh Umno dan DAP.

“Hakikatnya memang sukar untuk ahli Umno menyokong PH kerana perasaan benci terhadap DAP. Itulah sebabnya Umno bertegas untuk menggunakan logo dacing BN.

“Satu-satunya hujah yang boleh digunakan ialah, inilah kaedah untuk mengekalkan kuasa. Anda tak boleh guna ideologi kerana ideologi DAP berbeza dengan Umno. Pengundi perlu mengundi kedua-kedua parti ini untuk kekal berkuasa.

“Jika pengundi tidak mengundi merentasi jalur parti, parti akan kalah kepada Perikatan Nasional. Umno mempunyai rekod berkuasa yang lama jadi ia tidak boleh bertahan lama sekiranya tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“DAP telah lama menjadi pembangkang. Oleh itu mereka sedar keperluan untuk kekal dalam kerajaan agar dasar boleh dilaksanakan.

PRN dijangka berlangsung selepas pembubaran dewan undangan negeri Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam bulan Jun.

BACA JUGA: Zahid yakin jentera PH-BN serasi untuk PRN Selangor