‘Mahiaddin jangan lupa, kamu pernah kempen sokong DAP 100 peratus’
Meskipun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengatakan ‘agak luar biasa’ apabila ada pemimpin Umno menyeru ahli-ahlinya menyokong DAP, namun ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang ganjil bagi dirinya sendiri.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, ini kerana Mahiaddin pernah berkempen mengajak ahli-ahlinya menyokong sesiapa sahaja di dalam Pakatan Harapan, termasuk DAP yang akan disokong 100 peratus.
Kenyataan itu hadir susulan Mahiaddin pada semalam menganggap agak janggal bagi ahli Umno untuk menyokong DAP, sambil mendakwa beliau tahu apakah sikap DAP sebenarnya kepada orang Melayu.
“Saya merujuk sikap bingung yang dizahirkan oleh Mahiaddin apabila ada pemimpin Umno minta ahlinya menyokong DAP pada Pilihan Raya Negeri yang akan datang
“Ia bukanlah sesuatu yang ganjil bagi dirinya kerana beliau sendiri pernah berkempen agar menyokong DAP. Dalam satu ucapan pada Januari 2018, Beliau berkata: “Prinsip PPBM, siapa bertanding atas Pakatan (HARAPAN) – DAP ke, AMANAH ke, (atau) Keadilan, kita sokong 100%”.
“Pada ketika itu beliau begitu yakin. Setelah terbuang dari Umno, Bersatu dan Pakatan Harapan telah menjalin berkerjasama. Hasilnya, Pakatan Harapan menang dalam PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Terdahulu, Mahiaddin berkata selama 40 tahun beliau dalam Umno, ini kali pertama terdengar parti itu mengajak ahli-ahlinya menyokong DAP.
Beliau menganggap ia arahan agak janggal, luar biasa selain bertentangan dengan dasar parti.
“Dalam aspek ideologi agak luar biasa kalau pemimpin Umno suruh sokong DAP, sebab kita tahu apakah (sikap) DAP sebenarnya kepada orang Melayu,” kata Mahiaddin.
Sementara itu Sheikh Umar yang juga bekas ADUN Paloh berkata, walaupun Ahli Parlimen Pagoh itu merasa ‘luar biasa’, ia bukan penghalang untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menerokai naratif baharu politik rentas parti bagi mengekalkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.
“Kali ini, gabungan 19 parti telah bermuafakat untuk merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca PRU-15.
“Justeru, seruan untuk mengukuhkan kerajaan ini adalah penting bagi memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi Malaysia. Ini termasuklah dalam berdepan PRN yang akan datang,” ujarnya.
Baca juga: Gabungan PH-BN mampu beri kemenangan besar di Negeri Sembilan
Â