PRN: Pilihan untuk masyarakat India

Seperti yang diketahui umum, pilihan raya negeri untuk enam buah negeri akan berlangsung seawal bulan Julai atau Ogos. Enam negeri tersebut adalah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurut Felo Penyelidik Kehormat, Institut Kajian Asia di Universiti Nottingham (Malaysia), Profesor Dr. Bridget Welsh, peratusan keluar mengundi masyarakat India ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 di keenam-enam buah negeri tersebut berbeza-beza. Di Negeri Sembilan dan Selangor, peratusan keluar mengundi adalah 74% dan 81%.

Di Pulau Pinang dan Kedah pula, ia 77% dan 69%. Di Kelantan dan Terengganu pula, peratusan keluar mengundi adalah 56% dan 69%.

Secara keseluruhannya sokongan masyarakat India untuk Pakatan Harapan adalah dalam lingkungan 81% dalam PRU14 dan PRU15.

Dalam konteks PRN, undi masyarakat India ketika PRU15 paling berkesan dan memainkan peranan dalam menentukan pemenang di empat kawasan parlimen iaitu Kuala Selangor dan Kuala Langat di Selangor, Rembau (Negeri Sembilan) dan Padang Serai (Kedah).

Ini bermakna penentuan dua kerusi DUN di Kedah bergantung pada masyarakat India iaitu Merbau Pulas dan Lunas.

Di Negeri Sembilan ia melibatkan empat kerusi DUN iaitu Paroi, Chembong, Rantau dan Kota.

Di Selangor pula ia melibatkan Ijok dan Jeram di Kuala Selangor dan tiga lagi DUN di Kuala Langat pula ialah Sijangkang, Morib dan Banting.

Ini tidak bermaksudkan kuasa pengundi India di kerusi lain seperti Sentosa dinafikan memandangkan DUN Sentosa juga mempunyai lebih dari 40% pengundi India.

Isu sosioekonomi masyarakat India

Dari sudut isu yang menjejaskan mereka, kebanyakannya adalah isu sosioekonomi, baik sewaktu PRU mahupun PRN.

Isu sekolah Tamil umpamanya, sejak kebelakangan ini turut menampilkan isu dasar dwi bahasa yang lebih dikenali sebagai DLP. Isu seperti ini boleh diselesaikan di peringkat persekutuan.

Selain itu, tempat pembakaran mayat juga merupakan keperluan masyarakat India, terutamanya yang beragama Hindu. Perkara ini pernah menjadi isu semasa PRK Padang Serai.

Ketika Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung pada bulan Nov 2022, satu persoalan yang telah ditimbulkan ialah ketiadaan perwakilan parti masyarakat India di dalam Pakatan Harapan. Ini berlaku meskipun DAP dan PKR mencalonkan ramai calon dari masyarakat ini.

“Tiada ‘thaai katchi’ yang mewakili kita.”

‘Thaai katchi’ bermaksud parti ibunda.

Itulah hujah utama yang digunakan untuk mendapatkan sokongan untuk MIC.

Persoalan ini sudah tenggelam dengan penyertaan MIC di dalam Kerajaan Perpaduan.

Jika dibandingkan dengan Perikatan Nasional, hanya Gerakan mempunyai sebahagian besar masyarakat bukan Melayu-Islam. Walau bagaimanapun Gerakan hanya membisu dalam keadaan ia tidak mempunyai wakil rakyat di Dewan Rakyat dan di DUN.

Pas dan Bersatu pula mempunyai sayap ahli bukan Melayu-Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas dan sayap bersekutu Bersatu. Masyarakat bukan Melayu-Islam hanyalah ahli bersekutu tanpa kuasa untuk mengundi.

Di dalam PRU 15, tiada calon India dari kedua-dua parti ini menang.

Ini jelas menunjukkan pilihan masyarakat India masih kukuh untuk Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.

Cabaran untuk gabungan PH/BN sekarang adalah menyelesaikan permasalahan masyarakat ini agar peratusan keluar mengundi masyarakat India adalah tinggi.