SPRM: Bekas menteri, ahli perniagaan Tan Sri disoalsiasat lagi

Seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan dengan darjah kehormat Tan Sri akan disoal siasat sekali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan penyelewengan dana awam lebih RM2.3 bilion.

Langkah itu diambil selepas SPRM dilaporkan merampas beberapa dokumen berhubung pengambilalihan saham yang melibatkan syarikat senarai awam.

Langkah berkenaan – yang berlaku pada 1990-an – didakwa memberi kesan buruk kepada negara sehingga menyebabkan kemerosotan ekonomi Malaysia.

“Dua tokoh masyarakat itu termasuk ahli perniagaan yang bergelar mungkin dipanggil semula tidak lama lagi.

“Selain kedua-duanya, SPRM juga memanggil beberapa individu, termasuk seorang peguam, juruaudit, dan wakil sebuah syarikat untuk mendapatkan lebih banyak dokumen yang diperlukan untuk siasatan,” lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber tidak dinamakan.

Difahamkan, dokumen yang dirampas itu termasuk kertas perbankan serta dokumen daripada Suruhanjaya Sekuriti dan syarikat pemaju.

Laporan sama menyebut seorang lagi ahli perniagaan terkemuka juga diminta hadir esok untuk disoal siasat SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan mengesahkan perkara itu dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM iaitu kesalahan membabitkan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, selain undang-undang antipengubahan wang haram.

Kelmarin kedua-dua individu terbabit telah disoalsiasat oleh SPRM berkenaan perkara sama di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001