Annuar, tak payah propalah, yakinkan anak awak tu dulu

Tan Sri Annuar Musa diminta meyakinkan satu-satu anaknya dahulu untuk menyertai Pas sebelum berkempen untuk orang lain menyertai parti itu.

Ini kerana, kata Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Zawawi Othman, orang luar akan melihat, “kalau anak kandung beliau sendiri pun tidak meyakini tindakan ini, apatah lagi orang lain.”

Anak kepada Annuar Musa memberi bayangan keputusan yang akan dibuat adalah pilihannya sendiri apabila sudah matang, tanpa perlu mengikut individu tertentu.

Afiq Amani Annuar yang juga Ketua Pemuda Umno Ketereh itu turut menyifatkan setiap insan adalah berbeza.

“Apabila berguru, kita turuti mereka untuk menuntut ilmu, tetapi sampai satu masa, kita perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tak semestinya kita jadi guru kita.

“Setiap insan berbeza, mungkin kita silap dan mungkin kita jadi lebih baik dengan keputusan yang kita ambil. Itulah kehidupan, kita hanya boleh lakukan yang terbaik dan berdamai dengan pilihan diri sendiri,” katanya menerusi status di Facebook.

Bagi Zawawi, Umno telah masak dengan ragam dan perangai bekas Setiausaha Agung Umno yang lebih Perikatan Nasional (PN) dari anggota PN sendiri itu.

“Silap hari bulan Pas pula akan terjerat dengan ‘mind games’ beliau,” kata Zawawi dalam satu kenyataannya.

Katanya, Annuar sepatut mengajak anaknya yang juga Ketua Pemuda Umno Ketereh terlebih dahulu menyertai Pas sebelum berkempen orang lain mengikut jejak langkah beliau itu.

Beliau juga mengingatkan kepada Pas supaya berhati-hati dengan langkah Annuar Musa ini.

“Umno telah masak dengan ragam dan perangai beliau ini. Silap haribulan Pas pula akan terjerat dengan “mind games” beliau,” katanya.

Zawawi berkata demikian selepas meneliti sidang media Tan Sri Annuar Musa semalam.

Bagi beliau, Annuar tidak perlulah bersikap propa dengan sekadar menyebut sahaja angka-angka ahli Umno yang akan menyertai Pas.

“Kita sudah masak dengan cara beliau ini,” kata Zawawi.

 

BACA JUGA ‘Fahaman agama melampau berpangkal pada soal pendidikan’