Bicara kes saman Anwar terhadap Mahiaddin pada Ogos 2024
Perbicaraan kes saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas perdana menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin (PN-Pagoh) akan berlangsung selama sembilan hari dalam bulan Ogos 2024.
Perkara ini disahkan oleh peguam Anwar, N Sankara Nair yang memberitahu bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 hingga 7 Ogos, 12 hingga 14 Ogos, dan 26 hingga 28 Ogos.
Semua pihak dikehendaki memfailkan sebarang permohonan interlokutori menjelang 15 Jun tahun ini. Perkara itu akan ditetapkan dalam sesi pengurusan kes pada 21 Jun tahun ini.
Selain Sankara, Jaden Phoon Wai turut mewakili Anwar.
Mahiaddin pula diwakili oleh Chetan Jethwani dan Ivy Shu.
Pada 20 Dis tahun lalu, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Perikatan Nasional (PN) berhubung dakwaan kononnya dia menerima RM15 juta atas khidmatnya sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Anwar mendakwa Mahiaddin memfitnahnya melalui kenyataan yang dikatakan dibuat semasa ceramah PN pada 5 Dis tahun lepas.
Dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 17 Jan tahun ini, Mahiaddin mendakwa Anwar, sebagai perdana menteri, tidak seharusnya tersinggung dengan kritikan dan pertanyaan yang sah semasa ucapan politik.
Sebagai balasannya, Anwar menyatakan bahawa Mahiaddin sepatutnya tidak membakar sentimen pengundi dengan kenyataan berniat jahat dan berunsur fitnah.
BACA JUGA: Fitnah gaji RM15 juta: Mahiaddin fail penyataan pembelaan