Calon Bukit Antarabangsa: Terpulang kepada pimpinan PKR

Ketua Cabang PKR Ampang Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad menyerahkan kepada kepimpinan PKR untuk menentukan sama ada dirinya akan dicalonkan untuk merampas kembali kerusi Bukit Antarabangsa.

“Semua keputusan adalah terpulang kepada pimpinan parti untuk menentukannya berkenaan soal calon.

“Saya selaku Ketua Cabang (Ampang) kena mempersiapkan kedua-dua DUN (Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya) sebagai persediaan untuk mana-mana calon yang terpilih bertanding nanti,” katanya yang lebih terkenal sebagai Altimet kepada persoalan samada beliau akan merampas kerusi tersebut.

Tambahnya lagi, segala persiapan jentera termasuk dengan kerja lapangan sudah dilakukannya bersama pasukan bagi memastikan kerusi-kerusi tersebut akan kekal dimenangi oleh PH.

Isu ini dibangkitkan ekoran dari laporan media yang mendakwa bahawa Azmin akan berpindah kerusi DUN dari Bukit Antarabangsa ke Morib. Walau bagaimanapun malam tadi Azmin mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding kerana ingin memberi peluang kepada darah muda menggantikan dirinya.

Untuk rekod, Azmin ialah Adun penggal ketiga Bukit Antarabangsa. Beliau mengekalkan kerusinya di atas tiket PKR dalam tahun 2018 dengan majoriti 25,512 undi. Azmin menyertai Bersatu dalam tahun 2020.

Altimet yang juga Penyelaras DUN Lembah Jaya turut menzahirkan kekecewaan pengundi Bukit Antarabangsa terhadap Azmin.

“Berdasarkan di kawasan Ampang ini, saya mendapati bahawa ramai pengundi telah kecewa dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh Azmin Ali di (DUN) Bukit Antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, terpulang kepada Azmin Ali untuk bertanding di kawasan mana yang hendak ditandinginya kerana dia (Azmin) mempunyai (kuasa) autonomi untuk memilih kerusi mana yang dia nak,” katanya.

 

Â