Calon terbaik akan ganti Sany Hamzan – AMANAH Selangor

Hanya calon terbaik akan bertanding bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi, kata Naib Pengerusi 1 AMANAH Selangor, Shamsul Ma’arif Ismail.

Shamsul berkata AMANAH sudah mempunyai calon yang sesuai bagi menggantikan Sany Hamzan, namun tidak menamakan siapa sehingga ianya akan diumumkan secara rasmi oleh pimpinan parti itu nanti.

“Senarai calon sudah ada tetapi calon (secara rasmi) belum lagi diputuskan oleh Parti AMANAH Negara.

“Kita akan pertahankan DUN Taman Templer kerana ia adalah kerusi (milik) AMANAH dan sebagai sebahagian gabungan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ringkas kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, segala persiapan dan gerak kerja ke arah PRN sudah dilaksanakan oleh parti itu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Sany Adun penggal pertama

“Saya yakin kita (AMANAH) akan mendapat kemenangan yang lebih baik berdasarkan prestasi kerajaan negeri Selangor sekarang serta kesatuan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Semalam, ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN akan datang bagi menghormati arahan dikeluarkan AMANAH yang mensyaratkan ahlinya tidak boleh bertanding dua kerusi.

Sany kini merupakan seorang Ahli Parlimen Hulu Langat setelah memenanginya pada PRU15 yang lalu dengan majoriti 14,896 undi.

Sany ialah Adun penggal pertama Taman Templer yang memenagi kerusi tersebut dalam pertandingan lima penjuru setelah penyandang kerusi terdahulu, Zaidy Abdul Talib dari PAS dalam PRU14 dengan majoriti undi sebanyak 7,903.