Dakwaan sokongan akar umbi UMNO menurun hanya mainan pembangkang

Dakwaan menyatakan sokongan akar umbi dalam parti tersebut semakin menurun ekoran kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan hanyalah persepsi yang dimainkan oleh pembangkang.

Pengerusi Tetap Veteran UMNO Datuk Seri Kamal Amir berkata ahli parti itu tidak lagi termakan emosi sebaliknya mereka memahami keadaan politik sekarang yang memaksa gabungan Kerajaan Madani ini diwujudkan.

AMIR HIJAZ

“Akar umbi UMNO tidak melayan dengan persepsi sebegini (sokongan semakin berkurang) dan kita berpijak pada bumi nyata.

“Saya sebagai Ketua Penerangan Veteran Wilayah Persekutuan juga merasakan bahawa ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi tidak melayan persepsi dan terus menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Pihak penerangan juga kerap melakukan siri perjumpaan diantara ahli UMNO bagi menerangkan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Jelas Kamal ahli jentera parti lebih menumpu persediaan Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Buat masa ini, UMNO lebih fokus kepada persiapan PRN terutamanya di negeri yang dikuasai PN (Kelantan, Terengganu dan Kedah).

“Kita melihat Tengku Razaleigh sebagai penasihat UMNO Kelantan mampu memberikan impak besar kepada pengundi ditambah pula dengan pengalaman luas beliau di negeri tersebut,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga yakin dengan siri pertemuan Perdana Menteri dan beberapa pimpinan PH melibatkan keluarga bekas Mursyidil Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh memberikan sinar buat gabungan PH-BN menawan Kelantan.

“Saya lihat jawapan Nik Abduh berjumpa dengan Anwar Ibrahim atas alasan arwah ayahnya yang akrab dengan Perdana Menteri.

“Jika beliau mengikuti arahan ayahnya (menyokong Anwar Ibrahim) sudah pasti beliau akan menyokong Kerajaan Perpaduan ini.

“Oleh itu, sekiranya beliau mengambil keputusan tersebut (menyokong Kerajaan Madani), sudah pasti kita mampu menawan Kelantan,” katanya lagi.

Pada 19 Mei lalu, menerusi satu hantaran yang dikongsi bekas Exco Agama AMK PKR Wan Ji Wan Hussin memaparkan satu keping gambar pertemuan Nik Abduh dan abangnya Nik Omar dengan Anwar.

Pertemuan tersebut menimbul pelbagai reaksi terhadap bekas Ahli Parlimen Pas itu berhubung pendiriannya kepada pimpinan Perdana Menteri.

BACA JUGA: Saranan Umno sokong DAP gambaran kerjasama Kerajaan Perpaduan makin kukuh