Fadhlina bertemu keluarga Nik Aziz untuk perkasa pendidikan Islam

Ziarah yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ke kediaman keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 20 Mei lalu adalah untuk memperkasa dan mempertingkat kualiti pendidikan Islam di negara ini.

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin memaklumkan bahawa pertemuan Fadhlina di Pulau Melaka, Kelantan itu adalah untuk membawa agenda pendidikan Islam.

WAN JI WAN HUSSIN

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut bahawa beliau sudah mengarahkan supaya membina polisi-polisi keislaman pada Kementerian Pendidikan dalam agenda Madani.

“Iaitu (untuk) membentuk masyarakat yang maju daripada sudut rohani tanpa abaikan kehendak jasmani,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Pada pertemuan itu, Wan Ji berkata bahawa Fadhlina turut tidak menyangka bahawa beliau akan disambut oleh tiga generasi keluarga Allahyarham Nik Aziz, iaitu adik-beradik, anak-anak dan cucu-cucu termasuk balunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Allahyarham Nik Aziz dan bapa Fadhlina, Allahyarham Siddiq Fadhil merupakan sahabat akrab Anwar.

Pada 12 Mei lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan bersama dengan dua anak lelaki Nik Aziz iaitu Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar ketika lawatan Perdana Menteri ke Kelantan sehingga mencetuskan tanda tanya.

Menurut Wan Ji, pertemuan awal itu adalah berkisar mengenai persaudaraan yang terjalin di antara Anwar dengan Nik Aziz.

“Yang paling utama adalah untuk memastikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak dimatikan.

“Hal ini kerana, sudah ada usaha daripada pihak tertentu untuk mematikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz,” ujarnya.

Fadhlina sebak apabila diperkenalkan dengan dua adik Tuan Guru Nik Aziz iaitu Ustaz Nik Dim dan Ustaz Nik Nasin ketika melawat Maahad Tahfiz dan Pengajian Al-Quran Nikmatillah, Pulau Melaka, Kelantan pada 20 Mei 2023.  Foto FB Norman Radzuan

Terdahulu bekas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri baru-baru ini tidak mempunyai sebarang kaitan terhadap pendirian politiknya.

Katanya perjumpaan itu hanya sekadar menyambung persahabatan antara arwah bapanya dengan Anwar yang telah terjalin sejak sekian lama.

Terdahulu pada 20 Mei lalu, Fadhlina memaklumkan selain bertemu balu Allahyarham Nik Aziz, beliau juga dibawa oleh Nik Muhammad Abduh melawat Maahad Tahfiz dan Pengajian Al-Quran Nikmatillah.

BACA JUGA: Selepas PM Anwar, Fadhlina pula ziarah isteri Almarhum Nik Aziz

Anwar-anak Nik Aziz bertemu demi penerusan legasi allahyarham