Hasil bidaan siri FF cecah lebih RM34 juta
Nombor pendaftaran kenderaan bagi siri FF yang dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah berjaya merekodkan pembidaan dan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM34,296,327.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fok berkata, hasil siri itu juga merupakan kutipan tertinggi sejak bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara atas talian ditawarkan kepada orang awam melalui Sistem JPJeBid yang bermula pada 15 April 2019.
Menurutnya, proses bidaan antara 14 hingga 19 Mei lalu itu menyaksikan FF8 muncul menjadi nombor pendaftaran paling tinggi dibida dengan nilai RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999); FF3 (RM639,000); FF2 (RM638,000) dan FF7 (RM633,000).
Selain itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban, lima nombor pendaftaran paling diminati ialah FF199 yang dibida 34 orang, manakala FF51 (32 pembida), diikuti FF155, FF555 dan FF168 yang masing-masing dibida 29 individu.
“Siri FF amat diminati kerana trend yang dikenal pasti ialah orang ramai sangat meminati (nombor pendaftaran) yang abjadnya sama.
“Malah, siri FF ini amat diminati pemilik kenderaan Ferrari,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di ibu negara, hari ini.
Beliau turut memberitahu proses bidaan yang sepatutnya ditutup pada 18 Mei lalu juga terpaksa dipanjangkan selama 24 jam.
Hal tersebut berlaku, jelasnya, kerana terlalu ramai yang menaikkan jumlah bidaan pada saat akhir menyebabkan sistem JPJeBid tergendala seketika.
Dalam masa sama, Loke berkata, proses bidaan siri FF itu turut merekodkan penyertaan paling ramai membabitkan 34,032 orang dengan 8,348 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
BACA JUGA Kerajaan laksana insentif perbaharui lesen memandu 10 tahun