Jadilah golongan ‘ulul albab’, kecerdasan buatan tidak beri makna sepenuhnya – MB

Datuk Seri Amirudin Shari menyeru umat Islam agar tidak sesekali terperangkap dengan paradigma atau worldview yang mencengkam termasuk terkini apabila berlakunya letusan kecerdasan buatan.

Sambil menegaskan umat Islam bukannya anti teknologi atau sains, Menteri Besar mahu mereka menjadi golongan ulul albab yang mempunyai kecernihan akal, beriman serta bertaqwa.

“Dalam zaman digital, letusan kecerdasan buatan serta “machine learning” dan juga ChatGPT, saya berharap umat Islam jangan sesekali terperangkap dengan paradigma atau ‘worldview’ yang mencengkam.

“Kita umat Islam bukannya anti teknologi, kita bukan anti sains atau penemuan terbaharu untuk manfaat manusia. Kita tidak menghalang kebolehan manusiawi yang dianugerahkan akal untuk menghasilkan penemuan atau ciptaan yang baik untuk manusia mahupun alam sekitar,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapannya dalam majlis Jamuan Mahabbah Ulama Umarak sempena Festival Turath Islami di Shah Alam semalam.

Hadir sama tetamu khas bekas Mufti Mesir Sheikh Dr Ali Jum’ah yang turut memberikan pengisian sepanjang festival berkenaan.

Dalam majlis itu, Amirudin menerima cenderamata istimewa daripada Syeikh Dr Ali Jum’ah berupa naskhah al-Quran bertinta emas (gambar utama).

Amirudin berkata nas al-Quran telah memberikan bukti jelas bahawa agama Islam menekankan prinsip menuntut ilmu dan mengumpul pengetahuan agar umat Islam tidak tertinggal atau tersisih dari arus perubahan.

“Al-Quran tegaskan lagi, hanya orang yang berakal sempurna, golongan ulul albab yang dapat menerima pelajaran dan peringatan,” ujarnya.

Jelasnya, al-Quran mengesa umat Islam menjadi ulul-albab, berakal jernih, beriman dan bertakwa, memerhati serta menyiasat alam dengan penuh tawaduk sekali gus mengakui bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh-Nya.

Bagaimanapun, jelasnya usaha melahirkan generasi ulul albab berdepan cabaran perkembangan teknologi terkini yang berteraskan matlamat dan ‘worldview’ yang bersifat “materialist” yang mengukur segala sesuatu menurut pencapaian kebendaan.

Justeru itu, katanya teknologi seperti machine learning dan penciptaan alat kecerdasan buatan seperti chatGPT misalnya diagung-agungkan.

“Bagi para pendukung teknologi sebegini, machine learning adalah jawapan kepada misteri “consciousness” atau kesedaran dalam benak manusia,” ujarnya.

Padahal menurut pemikir seperti John Searle yang mengkaji minda manusia, komputer mahupun program-programnya walaupun mampu menjawab soalan dalam sesuatu bahasa namun “hollow” kerana mesin tidak mampu menghadirkan makna, kata beliau.

“Beliau (Searle) mengemukakan apa yang dikenali sebagai hujah The Chinese Room. Hujah ini kemudiannya disusuli serta dikembangkan menjadi hujah Intentionality. Menurut Searle, kecerdasan buatan atau machine learning tidak mampu memahami makna mahupun memberikan makna.

“Kecerdasan buat boleh senaraikan 100 ungkapan cinta namun tidak sama sekali ia mampu merasai cinta, sama ada manis ataupun pahit,” katanya.

BACA JUGA: Festival Turath Islami: Jadikan Selangor Serambi Keilmuan Islam – MB